Kuatkan Sistem Imun Anda
Satu-satu perkara yang menjadi penghalang antara anda dan sesuatu penyakit biasa seperti selseman ataupun yang lebih serius seperti kanser, atau jangkitan virus seperti SARS, ialah sistem imun yang kuat. Apabila sesuatu virus menyerang para pelajar dalam satu bilik darjah, mengapakah hanya separuh sahaja jatuh sakit dan yang separuh lagi masih sihat? Jawabnya, bukan kerana virus itu sendiri. tetapi kekuatan sistem imun dalam badan kita. Apapun dalam kata lain, mereka mempunyai penentangan yang lebih kuat.
Secara ringkas, sistem imun menggabungkan seluruh gerak balas badan terhadap penyakit. Sistem imun anda sentiasa mencari-cari dan menggelidah badan kita untuk menangkap apa jua yang dianggap “bukan diri.” Apa saja “bukan diri” dianggap sebagai penceroboh dan akan dimusnahkan. Bukan diri lazimnya ialah bakteria, virus, sel kanser, fungus atau lain-lain mikroorganisme.
Masalah akan timbul apabila para penceroboh, baik bakteria, virus, fungus mahupun protoza, bergerak masuk untuk menyerang badan kita. Tetapi para penceroboh ini akan bertembung dengan satu pasukan pembunuh yang luar biasa sekali kuasa pembunuhnya yang pernah dicipta - ini ialah sistem imun badan kita.
Terdapat bertrillion-trillion sel pejuang khas yang yang sentiasa menggempur sel-sel asing ini. Sel-sel pejuang ini dikawal dan diarah oleh berpuluh-puluh biokimia yang hebat-hebat belaka. Peperangan berteknologi tinggi ini mestilah diselaraskan dengan kepakaran dan kejituan yang tinggi. Sebarang kegendelaan di mana-mana bahagian dalam sistem yang hebat ini boleh mendatangkan malapetaka.
Jika sesuatu agen pembawa penyakit atau sel yang tidak normal dapat menewaskan atau mengatasi mekanisme pertahanan badan, maka jangkitan akan berlaku. Contohnya ialah penyakit AIDS. Dalam penyakit yang mengancam maut ini, sejenis virus akan menjangkiti dan memusnahkan satu subset sel-sel di dalam sistem imun itu sendiri. Sel-sel yang dimusnahkan ialah yang bertanggungjawab tindak balas imun.
Satu lagi contoh kebinasaan sistem imun berlaku pada tahun 1986 semasa berlakunya Bencana Loji Kuasa Nuklear di Chernobyl. Radiasi pada paras yang tinggi memusnahkan sistem imun para pekerja yang terdedah kepadanya. Akibat ituĀ ramai yang mati disebabkan jangkitan virus itu.
Contoh yang terkini ialah virus SARS. Kadar kematian yang dijangkiti virus ini, yang menyebabkan pneumonia (radang paru-paru) teruk, adalah tinggi di kalangan kanak-kanak, orang dewasa dan mereka yang sistem imunnya terjejas. Ini termasuk mereka yang mengalami ketegangan, diet yang tidak sempurna dan mereka yang telah pun mempunyai kedaan kesihatan yang tidak baik, seperti mereka yang mengihapi penyakit jantung dan hepar.
Bagi mereka ini, sistem imun badan telah menjadi lemah dan lembab dalam mengatur barisan pertahanan badan untuk menentang virus SARS yang agresif. Apabila sistem imun berada dalam keadaan kesihatan optimum, badan mempunyai semua amunisi yang diperlukan untuk mempertahankan dirinya daripada serangan sebarang virus atau bakteris. Ini hanya boleh berlaku sekiranya kita berusaha untuk membina sistem imun yang kuat dan sihat.




